Sunday 14 August 2011

Dimensi Hati ( Monolog)

"Dimensi itu masih membelenggu diri dan aku akan pertahankan darah itu biarpun nyawaku menjadi ganti"


Kelam hati tiada berjawab,
Penuh dengan persoalan,
Antara naluri yang terhijab,
wujudkah seribu harapan?
Dimensi ini terus bersatu,
Walau kembara tiada tuju,
Hanya takdir cuba aku fahami,
Bicara hati menjadi bukti
Hati yang kian kelam buat diri gelisah,
Hilang arah pedoman dan maruah diri,
Andai ku mampu ulangi kembali
kisah silam ini,
Cukup sahaja ku sendiri
sendiri hanya berada dalam dimensi hati.
            Pastikan ku kan mengerti,
Hatiku adalah milikMU,
Ku cuba pasrah segala-gala,
Kerana ku tahu diriku tercipta untukMU...


Monolog

Hening malam ini terasa damai sekali, aku memandang ke arah langit dan melihat cahaya rembulan yang terang indah. Terasa sayu mula bertandang pada hati. Batinku mulai memberontak tanpa pernahku fahami erti semuanya. 

Aku pernah tertanya pada diri sendiri siapakah  gerangan diriku. Asal-usulku mulai menjadi tanda tanya. Kehadiranku dalam dunia ini hanya mengundang sengsara pada diriku dan mereka yang bersama-sama denganku. Aku menyusur kembali arus sinar kehidupan ini tanpa ku memahami segalanya. Andai inilah takdir bagiku, ku pasrah dengan  segalanya ketentuanNYA. 

Aku melemparkan pandanganku ke arah tasik yang kelihatan tenang sekali. Terasa hatiku seakan-akan tertewas pada perasaanku. Perlahan-lahan aku mengusap mataku yang bergenang dengan air mata. Aku menangis? Tidak! Ini tidak mungkin berlaku pada diriku. Mengapa? Mengapa aku menangis??? Aku  bertanya sendiri soalan itu pada sanubariku namun aku sendiri buntu memikirkan jawapannya.

Perlahan-lahan aku melangkah ke arah tujuan yang aku sendiri tidak pasti. Tiba-tiba mataku disuluh oleh sebentuk cahaya yang aku tidak pasti. Aku kesilauan dan tiba-tiba aku terasa  kepala dihentak sesuatu. Pandangan mataku kekaburan sebelum aku terasa badanku menyebam pada tanah. 

Kedengaran gelak ketawa yang seakan ku kenali namun kebingungan menguasai diriku. Aku hanya mampu berserah kepadaNYA sebelum pandangan mataku tertutup rapat.

No comments:

Post a Comment